PTPTN: Semuanya semudah A,B,C.....Tu Pun Korang Tak Nak Bayar Lagi.....!! Banyak Alasan Betul Korang Ni.....HAISSHH....!!

Tags


KELAKAR betul! Kenapa masih ada yang ditahan di lapangan terbang dan tidak boleh ke luar negara, gara-gara gagal melunaskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional?.

Pada hal berurusan dengan PTPTN kini semudah A,B,C. Sepatutnya tidak ada lagi keluhan: “I bukan tak nak bayar, tetapi leceh nak ke kaunter, kena ambil nombor, kemudian beratur panjang, berpeluh ketiak, bro…”

Maaf cakap, itu alasan zaman kuno, tidak boleh diterima lagi pada era ICT. Di bawah konsep baharu perkhidmatan PTPTN, anda tidak perlu berbaris panjang. Sumpah, ketiak pun tidak hangit kerana peluh!

Kaedah perkhidmatan terkini, iaitu ‘Runding Melalui Telefon, Bayar Secara Online’ memudahkan semuanya. Dengan slogan MUDAH, CEPAT, SELAMAT, apa juga urusan – memohon pinjaman, membuat bayaran balik, membuat simpanan SSPN-i/ SSPN-i Plus dan lain-lain keperluan – semuanya di hujung jari.

Dulu memang betul kena berasak macam sardin sebab semua urusan dibuat di ibu pejabat di KL. Kemudian sebab hendak memudahkan pelanggan, pihak PTPTN membuka banyak cawangan, ada lebih 70 cawangan di seluruh negara.

Tetapi banyak cawangan pun, ada juga rungutan seperti tidak ada waktu, susah naik bas turun bas, tidak ada orang nak jaga baby, pakwe buat hal. Pendek kata macam-macam songeh. Eekelehhh!

Hentikan semua alasan itu! Kini kalau tidak mahu ke pejabat cawangan, gunakan gajet tercanggih anda - guna handphone biasa cap ayam pun tidak mengapa! - dan dail 03-20804455. Itu talian Careline PTPTN.

Sentiasa ada pegawai yang akan melayani panggilan anda di talian tersebut, tujuh hari seminggu, 8 pagi hingga 7 malam, Sabtu-Ahad setakat jam 5 petang. Apa sahaja urusan anda boleh dinyatakan menerusi talian ini. Kalau nasib baik dapat pegawai perempuan, bersuara manja. Tetapi, jangan mengurat pula!

Sebenarnya macam-macam yang anda boleh bincang dan selesaikan menerusi telefon, termasuk penstrukturan/ penjadualan semula pinjaman, pertukaran Ujrah, rundingan CCRIS, bayaran sekali gus, senarai hitam. Hatta, kalau anda kena saman pun boleh runding.

Kalau hendak membuat bayaran balik lagi mudah. Tidak perlu telefon, tidak payah ke kaunter, transaksi boleh dilakukan secara online melalui perbankan internet dan memberi pengesahan kepada pegawai PTPTN berdasarkan resit yang diterima.

Transaksi online boleh dibuat menerusi Financial Processing Exchange (FPX) di portal rasmi PTPTN. Ada juga MypayPTPTN, iaitu kemudahan mobile web yang mesra pengguna dan membolehkan pelanggan membuat transaksi bayaran. Layari www.mygovmobile.malaysia.gov.my/mypayptptn untuk maklumat lanjut.

Menambah deposit bagi SSPN-i pun boleh dibuat secara online, menerusi Perbankan Internet di tiga ejen iaitu www.maybank2u.com.my; www.cimbclicks.com.my; dan www.mybsn.com.my. Penambahan SSPN-i Plus pula boleh melalui www.maybank2u.com.my atau ejen online.

Sebenarnya selain bayaran balik dan tambahan simpanan, kemudahan online di portal PTPTN juga merangkumi urusan-urusan lain seperti semakan penyata pinjaman dan simpanan, semakan senarai hitam, permohonan pinjaman, permohonan ejen online PTPTN (Rakan Niaga Affiliate), permohonan potongan gaji online. Pendek kata macam-macam ada!

Senang cakap, dalam era ICT hubungan anda dengan PTPTN betul-betul di hujung jari. Kalau semuanya sudah di hujung jari, dan semudah A,B,C, saya percaya tidak ada lagi yang liat untuk membayar hutang. Kan sejak dulu ustaz dan emak bapak selalu pesan: hutang walau sesen pun wajib dibayar. Jadilah peminjam yang baik dan bertanggungjawab. Wa caya lu, bro!